Friday, January 29, 2010

Budaya Kerja Cemerlang Menurut Akhlak Islam

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan izinNya, dapat saya menemui pembaca pada bulan ini.

Pada kali ini, saya ingin menyentuh serba sedikit tentang satu topik yang berkait rapat dengan warga kerja dalam sesebuah organisasi iaitu Budaya Kerja Cemerlang Menurut Akhlak Islam. Topik ini sangat penting untuk mempertingkatkan keazaman warga kerja sesebuah organisasi untuk bekerja dengan penuh berkualiti demi mengharapkan redha Allah. Ini bermakna,tidak kira siapa kita, tidak kira pangkat atau kedudukan, berbekalkan azam dan istiqamah, yang paling utama untuk kita meningkatkan budaya kerja yang berkualiti ini adalah bermula dari niat yang ikhlas di dalam hati.

Antara usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini ialah:


Menghidupkan hati dan jiwa.

Kita amat berhajat dan memerlukan para pekerja dan anggota yang memiliki hati dan jiwa yang hidup serta mempunyai iman yang mantap. Oleh itu, merupakan suatu kewajipan menyedia dan mengetengahkan pendidikan rohani kepada anggota organisasi.



Pembentukan akhlak.

Menghala dan menjuruskan pendidikan ke arah pembentukan akhlak yang mulia adalah tugas yang tidak boleh dipandang ringan. Ia adalah tugas berat yang mesti ditanggung dengan penuh keazaman dan kesungguhan. Akhlak mulia yang dimaksudkan adalah yang terpancar daripada ibadah dan ketaatan kepada Allah yang merupakan hasil daripada aqidah yang soleh dan solehah.



Dasar yang positif.

Perjalanan santapan ilmu mestilah dibina di atas dasar yang bersikap positif dan tidak merugikan. Dasar yang bersifat positif lebih membantu ke arah ketenangan dan merupakan sumber kekuatan dan kecergasan dalam bekerja.



Menjauhi Pandangan Negatif

Kerja yang berterusan,menlazimi kerja yang bersifat jihad dan pengorbanan yang tinggi berupaya mengelak timbulnya pandangan negatif terhadap kerja-kerja organisasi dan merupakan erti yang sungguh bermakna serta memadai sebagai sumber hidayah manusia kepada sesebuah organisasi yang berkualiti



Sekiranya usaha-usaha ini berlaku pada setiap individu yang berkhidmat dalam sesebuah organisasi, maka kita akan melihat satu perubahan positif yang sangat hebat terutama dalam meletakkan sesebuah organisasi menjadi lebih disegani.

Adalah menjadi harapan saya untuk melihat warga kerja di semua organisasi sentiasa meningkatkan budaya kerja cemerlang pada diri masing-masing demi kemajuan agama, bangsa dan tanah air.

NIK SYUHARUL APIZO BIN SAFIEN
Penolong Pengarah
Unit Kaunseling BSM

No comments:

Post a Comment