Thursday, January 28, 2010

PENGUPAYAAN KENDIRI

Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan izinNya, artikal saya kembali menemui pembaca pada kali ini. Saya berharap panduan-panduan dan perkongsian ilmu ini memberI kesan kepada pembaca dan seterusnya kepada masyarakat bagi menjadi insan yang berguna di dunia mahupun di akhirat.
Pada kali ini, saya ingin menyentuh serba sedikit tentang satu topik yang berkait rapat dengan diri kita yang dicipta oleh Allah S.W.T dengan pelbagai kenikmatan. Hal ini saya tujukan khusus kepada tajuk Pengupayaan Kendiri yang mampu menjadi wadah perjuangan dalam hidup kita. Pengupayaan kendiri merupakan kesanggupan individu untuk mempertingkatkan kualiti yang ada dalam diri secara positif. Ini bermakna,tidak kira siapa kita, tidak kira pangkat atau kedudukan, berbekalkan azam dan istiqamah, yang paling utama adalah bermula dari niat di dalam hati. Berdasarkan kes - kes yang pernah dikendalikan oleh saya di Unit Kaunseling Bahagian Sumber Manusia MARA dan warga kerja di organisasi-organisasi lain melalui jemputan-jemputan yang diterima, terbukti jelas bahawa kekuatan dalaman individu itu sebenarnya yang menggerakkan kita untuk mempertingkatkan kualiti diri secara maksimum. Dalam membicarakan topik ini, saya begitu yakin dan percaya bahawa setiap individu yang berkhidmat dalam sesebuah organisasi mempunyai potensi yang tinggi untuk meningkatkan keupayaan diri masing-masing.
Pengupayaan Kendiri memerlukan sebuah matlamat hidup yang khusus dan jelas. Tunjang utama matlamat perlulah diletakkan kepada Yang Maha Esa. Dari aspek pendirian diri, tindakan dan keputusan yang diambil perlu tegas dan tepat tanpa mempedulikan persepsi orang lain. Perancangan yang dibuat dengan yakin, tidak akan diubah melainkan benar-benar perlu dan terbukti dapat menghasilkan pencapaian yang lebih baik.
Elakkan daripada menyalahkan orang lain apabila tindakan menemui kegagalan dan jangan risau mengenai rezeki, bahawasanya rezeki itu di tangan Allah S.W.T. Insan yang berjaya adalah insan yang tidak pernah jemu untuk menimba pengetahuan dan pengalaman baru walaupun dirinya telah berada di peringkat tertinggi. Petua yang perlu dipegang adalah jangan sesekali menganggap diri sudah pandai dan lengkap kerana semakin banyak kita belajar, semakin banyak yang kita tidak tahu.


Sekiranya pengupayaan kendiri ini berlaku pada setiap individu yang berkhidmat dalam semua organisasi, maka kita akan melihat satu perubahan positif yang sangat hebat terutama dalam meletakkan Negara Malaysia sebagai sebuah Negara yang disegani dan di hormati. Adalah menjadi harapan dan impian saya untuk mendidik anak bangsa saya menjadi insane yang hebat dan sentiasa berusaha meningkatkan keupayaan diri masing-masing demi kemajuan agama, bangsa dan tanah air.
NIK SYUHARUL APIZO BIN SAFIEN
Penolong Pengarah
Unit Kaunseling BSM

No comments:

Post a Comment