Thursday, January 28, 2010

MENINGKATKAN KUALITI DALAM ORGANISASI

Assalamualaikum w.b.t
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Alhamdulilah, sama-sama kita panjatkan rasa syukur kerana diberi nikmat hidup dan mampu untuk kita sama-sama nikmatinya sampai ke saat ini. Dalam edisi kali ini saya akan mengupas serba sedikit berkaitan dengan elemen-elemen penting dalam meningkatkan kualiti dalam sesebuah organisasi.
Mendidik warga kerja yang bermotivasi sangat penting dalam memperkasakan sesebuah Organisasi bagi melahirkan bangsa Malaysia yang dinamik dan progresif serta memiliki jati diri yang kukuh. Realitinya masyarakat Malaysia khususnya umat Islam mendepani cabaran yang sangat sengit dalam pelbagai bidang dan lapangan. Kita bukan sahaja berdepan dengan krisis akidah dan akhlak malahan kita menghadapi kecelaruan dari sudut pemikiran, ekonomi dan politik. Selain itu, perpecahan umat, penularan budaya negatif dan penularan wabak penyakit pada hari ini banyak mendatangkan impak yang buruk terutamanya kepada generasi muda. Kita juga menyedari kecanggihan teknologi yang ada pada hari ini membolehkan capaian atau akses kepada sebarang maklumat dengan mudah tanpa sebarang sekatan seterusnya memberikan kebebasan mutlak kepada pengguna. Maka, kita perlu sama-sama bermuhasabah, berdoa dan berusaha mencari jalan yang terbaik agar cabaran ataupun masalah yang dihadapi dapat dihindarkan dan ditangani dengan bijak. Rentetan dari situasi itu, saya melihat warga kerja dalam sesebuah organisasi perlu membawa dimensi baru ke arah mengubah dan membentuk masyarakat Islam berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.
Ciri-ciri masyarakat yang diperintahkan oleh Allah untuk dibangunkan di muka bumi ini perlu direnungkan bersama seperti mana firman Allah yang bermaksud:
”Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali Imran: 110).
Oleh yang demikian, rentetan dari situasi yang dialami ini semua warga sesebuah organisasi perlu dan cuba menyuburkan suasana ilmu bagi membangunkan masyarakat yang faham tentang rialiti hidup dalam keberkatan dimana warga kerja ini perlu mengejar keberkatan dalam kerjaya agar kehidupan yang dikecapi penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Dengan itu warga kerja yang berkualiti perlu menyemarakkan suasana dan budaya ilmu secara menyeluruh agar mampu ditingkatkan potensi dan kualiti diri masing-masing dari masa ke semasa
Saya berharap wadah perjuangan mengecapi nikmat menuntut ilmu ini akan menjadi platform yang utama untuk memastikan kecemerlangan ummah terus dipacu dan melahirkan golongan ulul albab yang terbaik di dunia mahupun di akhirat. Saya percaya dengan penglibatan setiap warga kerja dalam sesebuah organisasi dan kerjasama semua pihak, ia mampu dilakukan bagi membentuk ummah yang cemerlang bermula daripada komuniti kecil hingga ke kelompok yang besar dan seterusnya gelombang kecemerlangan ini diteruskan kepada ummah keseluruhannya. Diharapkan artikel kali ini bukan hanya sekadar membina azam yang baru dalam diri kita tetapi sebenarnya mampu menjulang Negara Malaysia ini menjadi sebuah Negara yang terbaik dan berkualiti.

NIK SYUHARUL APIZO BIN SAFIEN
Penolong Pengarah
Unit Kaunseling BSM

No comments:

Post a Comment